Dari Abdullah r.a, katanya: “Seolah-olah saya melihat Nabi
s.a.w menceritakan seseorang di antara nabi–nabi yang dipukul oleh kaumnya
hingga mengalir darahnya dan nabi itu menghapuskan darah di mukanya sambil
berdoa: “Wahai Tuhan! Ampunilah kiranya kaumku kerana sesungguhnya mereka belum
tahu.”
(Bukhari)
Kebenaran (hak) itu datangnya daripada Allah S.W.T. Pemimpin
kebenaran khususnya para rasul wajib menyampaikan kebenaran itu kepada seluruh
manusia. Bahkan salah satu sifat wajib bagi rasul ialah menyampaikan (tabligh).
Mereka tidak boleh menyembunyikan kebenaran walaupun satu huruf.
Apabila datang penentangan terhadap yang hak itu, maka
kebenaran sikap mereka tetap tidak berubah, melainkan terus mencari jalan
bagaimana kebenaran itu boleh sampai dan diterima oleh para penentang.
Sekiranya sudah tidak ada lagi jalan untuk penentangnya menerima kebenaran,
maka didoakannya pula. Doanya kepada penentang ialah agar menerima kebenaran
dan Tuhan ampunkan segala kesilapan dan dosa-dosa mereka.
Begitulah mulianya hati dan jiwa insan yang Allah
anugerahkan sebagai pemimpin umat. Inilah hati para rasul. Lihatlah sikap
Rasulullah s.a.w yang memaafkan penduduk Thaif yang menghina baginda. Malah
baginda mendoakan agar mereka nanti akan menerima kebenaran dan beriman kepada
Tuhan suatu masa kelak.
Semoga Allah memberi kita kesabaran seperti indahnya kesabaran Nabi Muhammad s.a.w
No comments:
Post a Comment