Dengarkanlah. Dengarkanlah
suara hatiku ini.
Bukanlah niat hati untuk
mencari perang atau meminta simpati. Cuma hati ini terlalu bimbang melihat
keadaanmu dewasa ini. Saban hari bertambah parah.
Hati manakah yang tidak
sayu melihatmu begitu andai empunya diri ini jua memiliki kakak dan adik yang
sejiwa denganmu. Jiwa yang begitu halus. Tempat yang bersarang naluri keibuan.
"Hai orang-orang yang beriman, peliharalah
dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan
batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak
mendurhakai (perintah) Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka
dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan." (At-Tahrim : 6)
Pakaian adalah lambang
keperibadian akhlak. Setuju? Lantas apakah yang mendorong engkau masih memakai
pakaian ahli maksiat? Kelak kerana pakaian itu engkau akan dihumban ke neraka!
Aku tahu, jauh di sudut
hatimu, ingin benar kau menjadi muslimah yang solehah. Ia tersemat kukuh.
Kerana itulah fitrah. Fitrah yang suci. Fitrah yang indah.
"Hadapkanlah wajahmu dengan lurus pada
agama (Allah); (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan menurut
fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus,
tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (ar-Rum:30)
Sungguh indah fitrah itu.
Madu iman meyelaputinya.
Kembalilah kepada fitrah
Islam, pasti engkau dapat merasai manisnya madu iman itu. Ya, amat manis. Tapi
ia hanyalah dikhaskan kepada yang benar-benar berusaha untuk mendapatkannya.
Aku tahu, untuk kembali kepada fitrah itu terlalu banyak besi halangan dan paku
keperitan. Benarlah sabda Nabi Muhammad saw :
"Neraka itu dikelilingi oleh kesenangan,
dan syurga itu dikelilingi oleh kesukaran." (HR Bukhari dan Muslim)
Namun tiada alasan untuk
kita tidak kembali membersihkan segala noda dan titik hitam dalam hati andai
kita benar-benar inginkan. Hendak seribu daya.
Terkadang aku pelik.
Tudungmu sudah elok, menutup segala rambutmu. Namun jelek dan pelik bila engkau
pakaikan baju yang berlengan pendek. Lagi malang baju adikmu yang kau sarungkan
pada badanmu. Bila ditanya, inilah fesyen terkini jawabnya. Namun aku cabar
jawapan ini lah yang akan engkau berikan di hadapan Allah nanti. Adakah
masih diberi kekuatan untuk menuturkannya sedemikian rupa?
Mengertilah. Aurat itu
bukan hanya terletak pada rambut. Namun pada seluruh anggotamu kecuali tapak
tangan dan mukamu. Aku yakin engkau sudah tahu cuma tidak mahu mengerti.
Mengapa begini? Bukankah kau ingin kembali kepada fitrah?
"Dan hendaklah mereka (wanita) menutup
belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka." (Surah al-Nur: 31)
"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan
anak-anak perempuanmu serta perempuan yang beriman, supaya melabuhkan
pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (ketika mereka keluar); cara yang
demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik)
maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah al-Ahzab : 59)
Terkadang aku terdengar kau
merungut. Merungut kerana auratmu terlalu berat berbanding aurat lelaki bagimu.
Usah begitu. Sebaliknya kau harus berbangga kerana engkau adalah ibarat permata
yang tidak ternilai harganya. Lantas kerana itulah engkau dijaga rapi tanpa
calar.
Apakah kau tidak melihat
wanita barat yang hilang ketamadunan dan maruah serta malu angkara tidak dijaga
oleh agama mereka. Mereka umpama batu hitam penuh debu di jalanan yang boleh
dikutip dan dibuang sesuka hati. Aku pasti engkau tidak mahu begitu.
"Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik
perhiasan dunia adalah wanita yang solehah." (HR. Muslim, Nasa'i, Ibnu
Majah dan Ahmad)
Aku menyeru dengan seruan
sayang dan kasih sebagai adik atau abangmu, marilah sama-sama kita kembali
kepada fitrah. Singkirkan segala pakaian ahli maksiat dan pakaikan pakaian
solehah.
Moga Allah memberi kekuatan
untuk kembali kepada fitrah. Rapatlah dengan-Nya, pasti kekuatan itu timbul
tanpa dipinta. Aku menyeru dan menasihati diriku terlebih dahulu.
Buatlah pilihan tekad.
Mulakan dengan dirimu. Pasti sahabatmu yang lain mengikutimu. Walau pada awal
mereka kelihatan menentang atau tidak suka perubahanmu namun, hatinya juga
seperti hatimu. Ingin jua menjadi muslimah sejati. Hanya kekuatan belum muncul.
Ayuh, tanggalkan segala
pakaian ahli neraka itu. Pakaikanlah pakaian fitrah. Pakaian ahli syurga.
Tutuplah auratmu. Rapatlah dengan-Nya. InsyaAllah Dia akan membantu
merealisasikan hasratmu itu.
TINGGALKANLAH PAKAIAN NODA WALAUPUN SECARA PERLAHAN-LAHAN

No comments:
Post a Comment